fbpx

Usaha sama Serba Dinamik, Startup Borneo tahun depan

Share this:

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd menjangkakan jalinan usaha sama pertamanya dengan hab pemula niaga dari Sarawak, Startup Borneo, dapat dimulakan pada Februari tahun depan.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, berkata usaha sama itu bermatlamat mengubah minda dalam kalangan usahawan muda untuk menceburi aktiviti perniagaan, selain menyumbang kepada pembangunan negara.

“Ini akan membantu mereka mengkomersilkan idea perniagaan dan mengembangkan lagi syarikat pemula niaga seperti yang terbukti di Lembah Silicon, termasuk Dell, Google, dan Facebook,” katanya kepada BERNAMA dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata, Startup Borneo mempunyai 33 entiti berdaftar yang terdiri daripada inkubator, pemecut dan pemula niaga, dengan program akan diterajui Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Serba Dinamik.

“Buat masa ini, program itu akan dilancarkan di Sarawak, diikuti pendekatan yang sama di Johor Bahru dan negeri-negeri lain atas permintaan,” katanya.

Mohd Abdul Karim, berkata menerusi usaha sama itu, Serba Dinamik sebagai peneraju, akan menyediakan latihan, pendanaan awal dan keperluan lain yang diperlukan untuk membimbing syarikat untuk meningkat ke peringkat seterusnya.

“Ini adalah usaha sama sama-sama menang bagi Serba Dinamik untuk membantu syarikat lain dan pada masa yang sama memperluas rantaian dengan pihak berkuasa tempatan dan syarikat antarabangsa dalam kelompok itu.

“Inkubator, pemecut atau syarikat pemula niaga akan mendapat manfaat melalui program latihan dan penyediaan kewangan untuk memberikan mereka pendedahan kepada rantaian global,” katanya.

Beliau berkata, usaha sama itu juga akan memberi manfaat kepada agensi kerajaan kerana ia akan menjadi antara usaha membantu syarikat teknologi tempatan yang semakin berkembang, manakala usaha sama di peringkat antarabangsa diunjur dapat memperluas rangkaian mereka di pasaran Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Mohd Abdul Karim berkata syarikat itu juga memulakan teknologi hologram dan bermatlamat mahu menjadi perintis dalam penyediaan teknologi.

Beliau berkata, teknologi hologram adalah teknologi yang mewujudkan item serupa dan serentak di lokasi berbeza, yang dapat membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

“Sebagai contoh, seorang pakar boleh melatih dan mendidik pelajarnya di tempat lain di dunia pada masa yang sama.

“Ahli politik atau pemimpin juga boleh berada di lokasi yang berbeza pada masa yang sama untuk bertemu dengan penyokong mereka secara lebih berkesan. Ini pasti akan meningkatkan produktiviti kerana teknologi ini tidak terganggu oleh emosi,” katanya.

Beliau berkata teknologi hologram juga diintegrasikan dengan teknologi Revolusi Industri 4.0 yang lain seperti kecerdasan buatan untuk memproses data dan teknologi pengkomputeran awan bagi mengurus data.

Serba Dinamik ialah kumpulan perkhidmatan tenaga antarabangsa yang menyediakan penyelesaian kejuruteraan kepada industri minyak dan gas dan penjanaan kuasa dengan kemudahan operasi di Malaysia, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, dan United Kingdom. – BERNAMA

[Source: “Usaha sama Serba Dinamik, Startup Borneo tahun depan” published by BHOnline]
0 0 vote
Article Rating

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
%d bloggers like this: