TIMOGAH.com Jual Sayur Kampung Secara Dalam Talian

Share this:

TIMOGAH.com jual sayur kampung secara dalam talian

KUCHING (21 Ogos): BUKAN mudah terutama bagi masyarakat yang tinggal di bandar untuk mendapatkan sayur kampung dan hasil hutan seperti daun ubi, terung dayak, daun sabong, midin, tepus, rebung, daun timun dayak bahkan ulat sagu.

Figure 1: SEGAR: Heineken berada di salah sebuah ladang sayur untuk mengambil bekalan.

Namun kini, semuanya boleh dibeli hanya secara dalam talian iaitu melalui Timogah.com, satu-satunya laman sesawang yang menjual hasil hutan Borneo dan turut menawarkan perkhidmatan penghantaran ke rumah atau pejabat setiap hari.

Pengasas Timogah.com, Heineken Laluan, 34, berkata, inisiatifnya itu bermula pada November 2017, setelah menyedari tiadanya platform menjual sayur segar terutama yang dari Borneo secara dalam talian dengan perkhidmatan penghantaran.

“Selain untuk membantu pengguna membeli sayur tempatan yang segar, hasrat kami juga adalah ingin membantu komuniti luar bandar untuk meningkatkan pendapatan melalui bidang pertanian dengan fokus kepada produk unik dari Borneo,” katanya ketika ditemu bual.

Menurut Heineken, kebanyakan yang dijual adalah sayur-sayur kampung dan hasil hutan yang diperoleh daripada para petani dan penduduk di luar bandar, terutama dari kawasan Padawan, Siburan, Kuap dan Serian.

Selain dari Kuching, beliau juga pernah mendapat tempahan dan melakukan penghantaran ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Langkawi.

Figure 2: MUDAH DIDAPATI: Antara sayur kampung dan hasil hutan yang dijual secara dalam talian oleh Timogah.com.

Anak kampung dari daerah Bau itu memberitahu untuk permulaan perniagaannya hanya melalui Facebook dan WhatsApp, namun kini beliau sudah mempunyai laman sesawang sendiri iaitu Timogah.com bagi memperluaskan lagi pemasarannya.

“Kami sekarang fokus kepada pasaran Kuching dahulu untuk memantapkan sistem operasi, dan merancang untuk mengembangkan ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Miri berdasarkan respons pelanggan sedia ada,” ujarnya.

Heineken berkata, kebanyakan pelanggannya adalah suri rumah, pekerja yang sibuk pada waktu pejabat dan mereka yang mempunyai masalah pengangkutan untuk membeli-belah, selain para peniaga kecil dan pengusaha premis makanan.

Selain sayur kampung dan hasil hutan, Timogah.com juga menjual produk basah serta pertanian lain seperti ikan terubok, ikan empurau, udang, midin termasuk kraf tangan dan cenderamata dari Borneo.

Pada masa sama, orang kampung turut digalakkan untuk menanam atau membekalkan produk berdasarkan pasaran Timogah.com seperti sayur sabih, daun ubi, tepus, rebung, terung dayak, daun timun dayak, daun sabong, daun dedah, midin, engkalak dan dabai.

[Source: “Timogah.com jual sayur kampung secara dalam talian” published by Utusan Borneo Online]

Photo Credits: Utusan Borneo Online

Share this: