Syarikat Sarawak digalak manfaat kemudahan pelaburan disediakan kerajaan persekutuan

Syarikat Sarawak digalak manfaat kemudahan pelaburan disediakan kerajaan persekutuan
Share this:

TERIMA KASIH: Arham menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Serba Dinamik Sdn Bhd Abdul Kadier Sahib (kiri) yang merupakan salah seorang penceramah jemputan sempena seminar. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Pemain syarikat domestik Sarawak digalakkan untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan pelaburan yang disediakan kerajaan persekutuan untuk bergerak ke arah Industri 4.0.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif I Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman berkata, kerajaan berusaha menyediakan kemudahan menerusi pelbagai insiatif bagi membantu golongan berkenaan dalam mengembangkan pelaburan mereka.

“Ia termasuk pakej insentif seperti Status Perintis, Elaun Cukai Pelaburan dan Dana Strategik Pelaburan Domestik.

“Terdapat juga insentif pengeluaran robotik iaitu Elaun Modal Automasi untuk menggalakkan automasi dalam industri pengilangan dan Skim Pinjaman Mudah untuk Automasi dan Modenisasi (SLAM) untuk meningkatkan proses, keupayaan pengeluaran dan kepelbagaian dalam aktiviti nilai tambah lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Pelancaran Seminar Pelaburan Domestik Sarawak yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini, semalam.

Arham berkata selain itu, MIDA juga menggalakkan bukan sahaja untuk mengguna pakai automasi dan teknologi pintar, tetapi juga melabur dalam bakat mereka.

Katanya, ia termasuk melatih semula tenaga kerja dan menjalin kerjasama dengan banyak institusi latihan yang sedia ada di negara ini.

Mengulas lanjut, Arham berkata setakat 2018, sejumlah 770 projek bernilai RM82.7 bilion telah dilaksanakan di Sarawak.

“Projek-projek ini mewujudkan lebih daripada 104,000 peluang pekerjaan di negeri ini seperti gas asli, kimia dan produk kimia, produk asas logam, produk elektrik dan elektronik dan sektor kayu serta produk perkayuan.

“Dengan banyak pembangunan yang berlaku di negeri ini, ia sudah tentu lebih banyak ruang untuk aktiviti pengembangan dan kepelbagaian terutama di kawasan pertumbuhan baharu,” katanya.

Justeru katanya, MIDA sebagai agensi persekutuan menggalakkan lebih banyak syarikat memanfaatkan kemudahan ekosistem dan kemudahan yang ditawarkan di Sarawak.

Sementara itu, seminar yang diadakan merupakan anjuran bersama MIDA dan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan yang dihadiri lebih 200 peserta dari pelbagai bidang termasuk agensi kerajaan, pengilangan, penyedia perkhidmatan dan pelabur berpotensi.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Industri dan Pelaburan Malcom Mussen Lamoh dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datu Liaw Soon Eng.

[Source: “Syarikat Sarawak digalak manfaat kemudahan pelaburan disediakan kerajaan persekutuan” published by Utusan Borneo]

Photo Credits: Utusan Borneo / Muhammad Rais Sanusi

Related Posts

Skip to toolbar