KUCHING: Sarawak mensasarkan satu pingat emas dalam penyertaan sulung sukan elektronik (e-sukan) di Sukan Malaysia (SUKMA) bagi kategori Pro Evolution Soccer (PES) yang dijadualkan berlangsung pada 6 sehingga 14 Mac tahun depan di Johor Bahru.
Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berkata pihaknya meletakkan ketetapan itu selepas meyakini kekuatan pasukan e-sukan Sarawak terletak pada PES dan bukan Dota 2 atau Mobile Legend (ML).
“Kita menghantar 18 orang atlet e-sukan Sarawak untuk ke SUKMA yang akan bertanding bagi PES, ML dan Dota 2 dengan sasaran satu pingat emas untuk dibawa balik.
“Ketentuan ini mengikut keperluan pihak penganjur yang kita sertai seperti Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan Sarawak (SUKSAR), Sukan Asia bergantung kepada apa yang ditawarkan mereka kepada kita,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Mesra di D’Virtual Park, Kota Samarahan hari ini.
Kesemua atlet berkenaan katanya kini sedang menjalani proses latihan di D’Virtual Park, SESA Mini E-Sports Hub, Kota Samarahan sebagai persediaan bagi SUKMA tahun hadapan.
Ketika ditanya, beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan pertandingan persahabatan dengan negeri-negeri lain untuk e-sport.
“Kita boleh mengadakan pertandingan persahabatan antara negeri-negeri tetapi kita kena memelihara hak cipta cara permainan senjata permainan kita supaya sukar mereka ketahui kelemahan kita berbanding mereka dari luar negara,” ujarnya.
Snowdan pada masa yang sama turut memperjelaskan bahawa pasukan Sarawak yang akan ke SUKMA tahun hadapan menyertai 30 jenis sukan dalam e-sukan dan jelas sekali memerlukan latihan khusus.
Bahkan, peraturan dan cara permainannya yang tersendiri perlu difahami dan berbeza daripada sukan konvensional.
Justeru, pihak kementerian sedang menjalankan pemantauan untuk melihat kekuatan atlet Sarawak dalam sukan baharu berkenaan.
Hadir sama Presiden Persatuan e-sukan Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi; Pengurus Kumpulan Serba Dinamik Sdn Bhd Cawangan Kuching, Muliawadi Imran; Pengurus Besar Operasi IT Serba Dinamik Sdn Bhd, Abdul Qaiyum Alidin; Pengurus Pembangunan Bahagian Sukan Perbadanan Sukan Sarawak, Ahmad Rodzli Hashim; dan Exco Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Malcolm Layang Jimbun.
Related Posts
Kerjasama latih bakat Sarawak mahir kendali helikopter luar persisir
Mata uang kripto besutan Meta kini mengalami kegagalan dalam peluncurannya. Sia…
Membuat pelanggan puas saja tentunya masih kurang tanpa adanya pengukuran yang p…