KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) — Serba Dinamik Holdings Bhd (Serba Dinamik) merancang untuk mengembangkan penawaran produk terbarunya – sistem penyelesaian parkir berasaskan Kod Maklum Balas Pantas (Kod QR) yang dipanggil Qwik Pay – ke pasaran Indonesia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Holdings Bhd, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata pasaran untuk Qwik Pay dijangka sesuai bukan sahaja di Malaysia, malah di negara-negara di mana syarikat itu telah berada, terutamanya Indonesia.
“Indonesia adalah salah satu pasaran besar dan kami telah berada di sana selama lebih dari 10 tahun, jadi ia bukan sebuah pasaran baru kepada kami.
“Kerajaannya proaktif. Seperti Malaysia, ia juga bersedia mengamalkan ekonomi digital. Dan dengan jumlah penduduk lebih dari 200 juta orang, kita tidak mampu untuk meninggalkan ia dari senarai,” kata beliau pada program ‘Bernama Today’ hari ini.
Beliau berkata syarikat subsidiari Serba Dinamik sedang melakukan aktiviti pemasaran di Indonesia untuk mendapatkan sebanyak mungkin kerjasama perniagaan dengan pengendali tempat letak kereta di sana.
Pada program yang sama, Ketua Pegawai Teknologi Serba Dinamik Kalaikovan Antony berkata penyelesaian berasaskan kod QR akan mengurangkan masalah parkir yang dihadapi oleh majoriti orang ramai.
“Kami juga memberi tumpuan kepada tempat meletak kereta di tepi jalan dan letak kereta berjoki serta semua proses yang berkaitan dengan perkhidmatan tempat letak kereta,” kata Kalaikovan.
Katanya, penggunaan Qwik Pay turut bakal diperluaskan di segmen pengangkutan, di mana penumpang boleh menggunakan aplikasinya untuk tiket pengangkutan, membeli-belah dan membayar makanan.
Aplikasi Qwik Pay telah dimuat turun lebih daripada 10,000 kali dan kini digunakan di 10 lokasi di Lembah Klang.
[Source: “Serba Dinamik Perluas Tawaran ‘Qwik Pay’ Ke Indonesia” published by BERNAMA]