fbpx

Serba Dinamik komited bantu industri kreatif

Share this:

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd komited membantu membangunkan industri kreatif melalui aplikasi digital ‘Global Content Exchange’ (GCE) yang dilancarkan pada Mei lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah, berkata GCE boleh dijadikan medium untuk penggiat industri menyalurkan karya mereka ke peringkat global.

“Industri kreatif merupakan satu industri yang boleh memberi keuntungan yang tinggi, tapi jika tidak ada wadah atau cara untuk memperkenalkan hasil karya industri itu, maka ia tidak akan tercapai.

“Oleh itu, saya percaya dengan adanya GCE, dan setelah mengambil kira pelbagai kritikan dan pandangan, ia boleh menjadi platform pilihan untuk merealisasikan hasrat berkenaan,” katanya kepada Bernama pada majlis Anugerah Telenovela 2018 di sini, Sabtu lalu.

Beliau turut menyarankan penggiat industri buku mengambil kesempatan mengembalikan kegemilangan industri itu melalui aplikasi digital GCE.

“Saya merasakan usahawan yang melibatkan diri dalam bidang ini, termasuk mereka yang ingin menerbitkan buku, hendaklah menerima hakikat bahawa perubahan teknologi berlaku dengan hebat.

“Jika peluang tidak diambil untuk melakukan penambahbaikkan dalam memenuhi perubahan kehendak pembaca, dikhuatiri mereka akan terus ketinggalan,” katanya.

Katanya, GCE dapat membantu pengguna memasar dan menjual pelbagai bentuk karya yang dihasilkan melalui medium digital dan mempunyai capaian yang lebih besar.

“GCE mampu bersaing dengan platform digital lain seperti Amazon.com dengan memperkenalkan pengisian yang mengambil kira minat dan tarikan pelbagai peringkat usia,” katanya.

[Source: “Serba Dinamik komited bantu industri kreatif” published by BERNAMA]
Share this: