Sarawak lancar loji dan stesen hidrogen pertama di Asia Tenggara

Sarawak lancar loji dan stesen hidrogen pertama di Asia Tenggara
Share this:

Abang Johari mengisi bahan api hidrogen pada kenderaan hidrogen di stesen dan loji hidrogen pertama Sarawak di Kuching hari ini.

KUCHING: Sarawak melancarkan Loji Pengeluaran Hidrogen Bersepadu dan Stesen Pengisian Bahan Api yang pertama di negara dan Asia Tenggara amnya.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di tapak loji dan stesen yang terletak di pekarangan Pejabat Wilayah Barat Sarawak Energy Berhad (SEB) di Bintawa dekat sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Sarawak turut memperkenalkan bas hidrogen yang akan digunakan sebagai projek perintis bagi demostrasi keupayaan teknologi bahan api hidrogen sebagai kenderaan pengangkutan awam di negeri ini.

“Loji dan stesen hidrogen ini merupakan sebahagian daripada hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) kita dan saya mengucapkan tahniah kepada SEB serta rakan agensi kerana berjaya membangunkan loji dan stesen ini.

“Seluruh dunia kini beralih kepada tenaga hijau dan kita di Sarawak ada agenda tenaga hijau dimana kita menerokai lambakan sumber air kita untuk mengeluarkan tenaga yang bersih, murah dan mesra kepada alam sekitar,” katanya dalam ucapan pelancaran.

Dalam pada itu, fasiliti ini meliputi sebuah loji yang dibina oleh SEB untuk mengeluarkan hidrogen menerusi proses elektrolisis dan sebuah stesen pengisian bahan api untuk bus hidrogen pertama Sarawak di bawah pengurusan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Pembinaan dan pengoperasian loji dan stesen ini dijalankan oleh SEB dengan kerjasama Linde EOX Sdn Bhd iaitu anak syarikat Linde Malaysia.

Loji ini mampu mengeluarkan 130 kilogram (kg) hidrogen sehari pada tahap kebersihan 99.999 peratus dan berupaya menyokong dan memenuhi pengisian sehingga lima buah bas dan 10 kereta sehari.

Penggunaan bahan api hidrogen bagi pengangkutan adalah sifar pelepasan karbon dan hanya melepaskan air serta haba.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dan Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Hussain.

[Source: “Sarawak lancar loji dan stesen hidrogen pertama di Asia Tenggara” published by Utusan Borneo]

Photo Credits: Chimon Upon / Utusan Borneo

Related Posts

Skip to toolbar