fbpx

Sarawak dijamin tidak akan muflis dalam tiga tahun

Share this:

PENGHARGAAN: Awang Tengah menerima cenderamata daripada Arham (dua kiri) sebagai tanda penghargaan selepas majlis pelancaran semalam. Turut kelihatan Naroden (kanan) dan Mussen (kiri). — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Sarawak dijamin tidak akan muflis dalam tempoh tiga tahun seperti yang diramalkan Menteri Kewangan persekutuan sebelum ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau menegaskan, Sarawak telah dinilai oleh agensi penarafan antarabangsa seperti Moody’s dan Standard & Poor selama bertahun-tahun.

Menurutnya, malahan kedua-duanya telah mengesahkan penarafan kredit pelaburan negeri masing-masing pada A3 dan A-.

“Begitu juga, Ketua Audit Negara telah memberi Sarawak Sijil Audit Bersih bagi Kewangan untuk tempoh 17 tahun berturut-turut.

“Belanjawan kerajaan Sarawak sentiasa mencatatkan lebihan selama bertahun-tahun. Kami mempunyai sumber pendapatan yang mantap terutama menerusi pelaksanaan cukai jualan ke atas produk petroleum untuk eksport.

“Ini semua aliran pendapatan baharu ke negeri dan kami tidak bergantung sepenuhnya kepada rizab negeri,” ujarnya pada perasmian Seminar Pelaburan Domestik Sarawak anjuran bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan di sini, semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan berkata, Sarawak terus menjadi destinasi pelaburan pilihan dengan kedudukan antara tiga teratas sejak enam tahun lalu.

“Tahun lepas, Sarawak mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM8.6 bilion bagi sektor pengeluaran iaitu ketiga tertinggi selepas Johor (RM30.5 bilion) dann Selangor (RM18.9 bilion).

“Kesemua ini disebabkan Sarawak yang stabil dari segi politik dan diurus dengan baik. Saya memberi jaminan kepada anda semua bahawa Sarawak tidak akan muflis dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, kenyataan Menteri Kewangan persekutuan bahawa Sarawak akan bankrap atau muflis adalah tidak wajar dan tidak perlu.

Beliau menyifatkan ia hanya bersifat politik dan pada masa kini, ekonomi global menghadapi risiko penurunan yang serius akibat perang perdagangan, ketegangan serantau seperti Timur Tengah dan harga minyak rendah.

“Oleh itu Yang Berhormat Menteri Kewangan persekutuan hendaklah menjalankan amanah dengan apa yang dikatakannya akan mempengaruhi sentimen para pelabur bukan sahaja negeri, tetapi negara secara keseluruhannya,” tegas beliau sambil menambah ini terutamanya pelabur asing.

Awang Tengah memberitahu, sumbangan Sarawak terhadap pembangunan ekonomi negara amat penting.

Maka katanya, kedua-dua kerajaan negeri dan pusat perlu bekerjasama untuk menarik lebih banyak pelaburan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan asing domestik (DDI) untuk kebaikan negara.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Industri dan Pelaburan Malcom Mussen Lamoh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif I MIDA Arham Abdul Rahman dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datu Liaw Soon Eng.

[Source: “Sarawak dijamin tidak akan muflis dalam tiga tahun” published by Utusan Borneo]

Photo Credits: Utusan Borneo / Muhammad Rais Sanusi

%d bloggers like this: