KOTA SAMARAHAN: Demografi penduduk dan gaya hidup generasi muda berteraskan teknologi marcapada ini dapat memangkin potensi besar dalam mengembangkan kawasan Kota Samarahan sebagai ‘Kota Siber’ di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, kawasan ini berpotensi untuk dijadikan seperti Kota Kreatif Cimahi di Jawa Barat, Bandung, Indonesia, yang mempunyai konsep kreativiti, inovasi dan teknologi digital.
“Kawasan ini memiliki daya tarikan tersendiri, bahkan ia mempunyai peratusan demografi penduduk yang terdiri daripada pelajar universiti dan profesional (perkhidmatan awam dan swasta) yang sangat tinggi.
“Ia berpotensi untuk disenaraikan sebagai salah satu Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ) berdasarkan kepada pelancongan khusus (niche tourism) dalam teknologi digital yang seiring dengan usaha mengintegrasikan industri pelancongan dengan Revolusi Industri (IR 4.0),” katanya.
Berucap dalam Majlis Perasmian Kejohanan Dota 2 Serba Dinamik Musim 1, di Taman D-Virtual, di sini semalam, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata penganjuran sukan elektronik (e-sukan) dilihat sebagai alternatif baharu dalam menarik pelancong khususnya golongan muda dari luar negeri dan negara.
“Penganjuran program seperti ini juga secara tidak langsung telah mendukung inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilihat sebagai elemen penyatuan inovasi dan kreativiti.
“Ia juga merupakan salah satu langkah proaktif dalam usaha mempersiapkan negara untuk peralihan ke teknologi 5G pada masa depan,” katanya yang juga berkesempatan merasmikan Kelab E-Sukan Batang Sadong (BSES) dalam majlis yang sama.
Mengulas lebih lanjut mengenai pelan pelancongan di Kota Samarahan, Nancy memaklumkan antara cadangan projek pelancongan yang berjaya dikemukakan untuk dipertimbangkan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).
Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Pelancongan IRSDA menambah terdapat banyak lagi projek baharu yang telah diserahkan di bawah IRSDA dan akan dibahas di peringkat jawatankuasa induk dalam waktu dekat ini.
“Untuk makluman, IRSDA dipengerusikan oleh Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan antara projek yang telah berjaya diluluskan adalah Projek Boulevard Samarahan dan Projek Taman Tasik Desa Ilmu.
“Selain itu, terdapat beberapa lagi projek sedang dalam proses perbincangan iaitu, Projek Tanam Sanktuari Herba Borneo Bahagian Samarahan, Projek Pelancongan Sukan, Projek Apps Samarahan Viral, Projek Gerai Niaga Kawasan Kota Samarahan dan cadangan Pusat Penginapan dan Chalet di Ladang Nanas, Kota Samarahan,” tambahnya lagi.
Turut hadir, Pengurus Kumpulan Operasi Serba Dinamik Kuching, Muliawadi Imran, Residen Samarahan, Ibrahim Lumpu, dan Presiden Persatuan E-Sukan Sarawak Afiq Fadhli Narawi.
Related Posts
Kerjasama latih bakat Sarawak mahir kendali helikopter luar persisir
Mata uang kripto besutan Meta kini mengalami kegagalan dalam peluncurannya. Sia…
Membuat pelanggan puas saja tentunya masih kurang tanpa adanya pengukuran yang p…