fbpx

Pesta Warisan Melayu 2018, 27-28 Oktober

Share this:

KUCHING (Oct 19, 2018): Kerajaan Sarawak akan menganjurkan Pesta Warisan Melayu 2018 yang julung kali diadakan di bandar raya ini pada 27 dan 28 Oktober ini.

Menurut jurucakap Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), ia merupakan antara aktiviti Kampung Heritage di bawah komponen ‘Old Kuching Heritage’.

“Pesta Warisan Melayu 2018 akan diadakan di pekarangan Kompleks Sukan Satok, Padang SLPAS, Kuching dan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 28 Oktober ini jam 7.30 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pesta itu bakal memberi peluang kepada masyarakat setempat dan pelancong untuk mengimbau kembali nolstagia warisan Melayu di bandar raya Kuching.

“Dengan adanya aktiviti-aktiviti warisan ini, ia juga dapat mengembangkan lagi visibiliti Kampung Heritage sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” kata jurucakap UKAS sambil menambah, pesta itu dirancang dijadikan acara tahunan di Sarawak.

Pesta Warisan Melayu juga merupakan platform untuk memberi peluang kepada pengusaha produk dan perkhidmatan tempatan mempromosikan produk dan perkhidmatan yang dibangunkan serta disediakan melalui program pembangunan holistik.

Terdapat lebih daripada 15 aktiviti serta program akan diadakan sepanjang tempoh dua hari tersebut dan ia terbuka kepada semua masyarakat di sekitar Kuching dan berdekatan serta pelancong luar.

Menariknya, pesta ini juga memberi peluang kepada pengunjung bersama mencuba dan menimba pengalaman dalam menjalankan aktiviti berasaskan warisan kampung yang mempunyai keunikan tersendiri.

Antara aktiviti-aktiviti yang akan diadakan adalah ekspo, demonstrasi, pameran dan persembahan warisan kebudayaan, kesenian dan kesukanan rakyat.

Selain itu, aktiviti beriadah, pertandingan memancing serta sukan kayak di tebing Sungai Sarawak turut memeriahkan Pesta Warisan Melayu, pameran dan jualan produk warisan juga akan diketengahkan.

Pesta Warisan Melayu 2018 ini dirancang dan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak industri dan sokongan daripada komuniti setempat.

Mengenai Kampung Heritage, ia adalah salah satu daripada empat komponen dalam Old Kuching Heritage yang merupakan antara inisiatif di bawah strategi ekonomi digital Sarawak bagi tahun 2018-2022.

Pembangunan ini dirancang dan ditubuhkan dengan visi menjadikan bandar raya Kuching sebagai sebuah lokasi pelancongan warisan dunia serta dapat menarik pelancong sama ada di peringkat domestik, nasional atau antarabangsa.

Old Kuching Heritage pula merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak yang bertujuan menjadikan bandar raya Kuching sebagai bandar raya bersejarah yang diiktiraf dunia dan terus menjadi pemangkin dalam meningkatkan ekonomi daripada sektor pelancongan.

Figure 1: CANTIK DAN MENARIK: Lakaran rumah dan tebing sungai Kampung Masjid yang akan ditransformasikan di bawah Kampung Heritage.

Selain pembangunan fizikal, pemeliharaan dan pengekalan yang berteraskan Heritage, pelbagai aktiviti berasaskan kebudayaan tempatan telah dirancang dan dilaksanakan di peringkat Kerajaan Sarawak dan seterusnya memastikan kelestarian sektor pelancongan.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh mengunjungi laman sesawang www. kuchingkampungheritage.my.

[Source: “Pesta Warisan Melayu 2018, 27-28 Oktober” published by Utusan Borneo (Sarawak)]

Photo Credits: Utusan Borneo (Sarawak)

Share this: