Source: Published by Suara Sarawak on March 9th, 2020.
KUCHING: Perpindahan ibu negara Indonesia dari Pulau Jawa ke Kalimantan bakal memberikan impak besar khususnya dalam perdagangan merentasi sempadan melibatkan Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri negeri itu, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, rancangan negara jiran itu bakal memberikan kesan besar khususnya di kawasan utara negeri ini.
“Banyak lagi peluang yang harus kita fikirkan, dari segi perdagangan sempadan akan menjadi lebih besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Logo Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di Lawas, di utara negeri ini.
Menurutnya, perdagangan merentasi sempadan antara Sarawak dengan Kalimantan sudah berlaku sejak sekian lama, malah akan semakin meningkat sekiranya perpindahan ibu negara Indonesia dimuktamadkan.
“Pembangunan sempadan bersama boleh kita rancangkan dan kita memahami memang ada kebaikan dan keburukan ekoran perpindahan ibu negara ini, namun kalau kita merancangkannya betul-betul, kita akan mendapat manfaat yang lebih,” katanya.
Awang Tengah yang juga pengerusi NRDA berkata, melalui agensi itu, kerajaan negeri juga bercadang untuk membangunkan industri hiliran minyak dan gas di daerah Lawas, khususnya dalam bidang petrokimia serta penapisan petroleum dan gas.
Menurutnya, kerajaan negeri sekarang dalam proses untuk melantik pakar bagi membuat kajian berhubung cadangan itu yang sudah menarik minat beberapa pelabur, selain kajian kemungkinan untuk membangunkan pelabuhan di Lawas.
Kajian juga akan dibuat berhubung perancangan induk pembangunan Limbang dan Lawas, dua daerah paling utara di Sarawak, dengan objektif untuk meningkatkan lagi perkembangan ekonomi di kawasan berkenaan.
“Kita mahu melihat kawasan kita (di utara Sarawak) dibangunkan dan disebabkan itu, kita telah pun melibatkan banyak pihak untuk merancang apa yang perlu diberikan keutamaan. Kita melantik perunding untuk membantu kita menjalankan kajian dan juga menyemak semula beberapa kajian yang telah dijalankan (sebelum ini),” katanya. – Bernama