fbpx

Penyertaan pertandingan Silat Keris Sri Naga Kilat sempena Temasya Warisan OKSHE masih dibuka

Share this:

10/10 Penyertaan pertandingan Silat Keris Sri Naga Kilat sempena Temasya Warisan OKSHE masih dibuka

KUCHING: Penyertaan bagi pertandingan Silat Keris Sri Naga Kilat dan Piala Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari binTun Datuk Abang Haji Openg masih dibuka kepada Persatuan Seni Silat di sekitar bahagian Kuching dan Samarahan yang berdaftar dengan Rumpun Silat Sarawak ( RSS ) serta kawasan sekitarnya sempena Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) 2019 yang berlangsung pada 6 hingga 26 Oktober 2019.

Pengerusi Persatuan Kesenian dan Warisan Melayu Kuching (KEWARISMA), Abdul Yakup Norsen berkata, pertandingan itu berlangsung selama tiga hari bermula pada 18 Oktober hingga 20 Oktober 2019, di Padang Merdeka, di sini.

Pertandingan itu dianjurkan Persilatan Angkatan Gerak Hati 12 dengan kerjasama OKSHE, KEWARISMA dan Rumpun Silat Sarawak Wilayah Kuching.

Menurut Abdul Yakup, setakat ini seramai 16 perguruan sudah mengesahkan penyertaan pertandingan bagi merebut Piala Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg.

“Alhamdulillah, penyertaan pertandingan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada kumpulan silat dan kita menjangkakan penyertaan akan bertambah sebelum menjelang hari pertandingan nanti,” katanya semasa ditemui di Pejabat KEWARISMA, Jalan Haji Taha, di sini.

Menurut Abdul Yakup, pada Majlis Penangguhan Pertandingan tersebut pada 20 Oktober nanti, simbolik upacara buka gelanggang daripada guru utama akan diadakan selain persembahan perguruan silat, persembahan Juara Pertandingan Silat dan persembahan Perguruan Hati 12.

“Juara kategori pertandingan akan disampaikan pada 20 Oktober manakala juara keseluruhan akan disampaikan pada 26 Oktober oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Selain pertandingan silat katanya, turut diadakan upacara Makan Namat yang disertai tiga perguruan anjuran Perguruan Pencak Silat Nilam Sari, Persatuan Perguruan Seni Silat Hidayah Pukulan Chik Dahlan dan Perguruan Seni Silat Naga Dua bermula pada 11 hingga 13 Oktober ini. Makan Namat bermaksud upacara tamat belajar silat dan setiap perguruan berbeza upacaranya.

Beliau memberitahu, objektif temasya Warisan OKSHE untuk memartabatkan warisan seni masyarakat Melayu dengan mengetengahkan seni mempertahankan diri, muzik tradisional dan sukan rakyat yang pernah dimainkan oleh masyarakat Melayu khususnya suatu ketika dahulu.

Dengan memartabatkan warisan seni ini, katanya akan diwarisi generasi baharu sekarang agar tidak pupus ditelan zaman.

“Sasaran kita adalah generasi muda sekarang supaya seni dan warisan itu tidak hilang daripada genggaman masyarakat Melayu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai supaya tidak melepaskan peluang menyaksikan keistimewaan temasya ini yang sedang berlangsung dan kemuncaknya pada 26 Oktober ini, menghimpunkan 1,000 pemain hadrah untuk dimasukkan dalam The Malaysia Book Of Records (MBOR) diiringi 1000 pesilat mengiringi Ketua Menteri.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of
%d bloggers like this: