fbpx

Pameran “Awakenin9” : Sebuah Permulaan Baru Seni Visual Kuching

Share this:

Bangun, bangkit dari lena, “Awakenin9” menjadi tajuk pameran seni yang akan diadakan oleh Kelab Jiwa Seni 9Lives Kuching pada 12 hingga 27 Januari 2019. Acara yang akan berlangsung selama dua minggu ini adalah bertempat di HAUS 1.5 yang terletak di Lot 4759, City Square, Section 64 Kuching Town Land District Phase 2, Jalan Pending , Kuching yang juga merupakan hub kreatif yang semakin berkembang di Kuching.

Pameran ini adalah pameran pertama Kelab Jiwa Seni 9Lives Kuching bagi tahun 2019 dan akan mengumpulkan artist-artis visual muda tempatan Sarawak dan juga kolaborasi dengan para penggiat seni dari luar negara. Antara yang terlibat ialah Amy Amin, Asyilah Tan, Dean Caveman, D2k, Felix Oz, Monsthor, Keds, Rikai, Ishamuzen, Lisa James, IVXX, Tha Black Cat, dan juga Yasmin Zaidi.

 Selain daripada pameran seni visual, para pengunjung juga boleh menimba ilmu dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Bengkel Inai, Bengkel Seni Digital, Bengkel Cetakan Baju (Cetak Saring), Bengkel Graffiti, dan juga Bengkel Ikat Celup Baju. Terdapat juga sesi perkongsian tentang seni digital dan sesi perbincangan tentang seni pasca kolonial oleh Asmus Rungby, ahli antropologi yang berasal daripada Sweden.

Memetik kata-kata pengasas 9Lives, Husni Zuhairin, “Kita mesti dan akan sentiasa membaiki diri kita jika mahu berjaya. Pameran Awakenin9 adalah masa untuk bangunkan dan buka mata untuk melihat bakat tersembunyi anak tempatan yang mempunyai taraf yang tersendiri.”

Tambah Husni lagi,” Kita harus buka telinga untuk mendengar dan memahami apa yang mendorong minat seseorang terhadap seni, dan buka minda kita untuk menambah pengetahuan dari perkongsian ilmu dari bengkel-bengkel yang dianjurkan.”

Kelab Jiwa Seni 9Lives Kuching telah ditubuhkan sejak tahun 2014 dengan matlamat utama sebagai platform bagi pelukis muda di Sarawak dan juga untuk memupuk jati diri dalam kalangan pelukis muda di Sarawak. Selain daripada pameran seni, kelab ini juga aktif dalam pembikinan mural. Bermula dengan projek mural pada 2014 di Jalan Budaya bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara, mural-mural Petronas #TanahAirku 2015 di Jalan Carpenter, dan juga mural MYfm #HOPECOURAGESTRENGTH di The Spring, Kuching. Bagi tahun 2017 dan 2018 pula Kelab Jiwa Seni 9Lives telah mewakili Sarawak bagi Borneo Arts Festival yang berlangsung di Labuan.

Pameran “AWAKENIN9” ini adalah terbuka untuk semua dan sesuai untuk penggiat seni dan juga mereka yang mencintai seni. Para pengunjung yang ingin menyertai bengkel pula bolehlah menempah tempat masing-masing kerana slot adalah terhad. Untuk pendaftaran bengkel, boleh hubungi Amy Amin di +60128700282 atau Dean Caveman di +60149967981. Bagi mengikuti perkembangan dan juga mengetahui maklumat lanjut boleh juga layari laman sesawang Facebook Kelab Jiwa Seni 9Lives Kuching di https://www.facebook.com/9livesborneo.

%d bloggers like this: