fbpx

Organisasi, syarikat di Sarawak perlu tingkatkan kecekapan perkhidmatan

Share this:

KUCHING: Setiap organisasi dan syarikat terutama di negeri ini perlu secara berterusan meningkatkan kecekapan perkhidmatan agar kekal relevan selaras dengan perubahan semasa.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Dr Sabariah Putit berkata, perkara itu penting sebagai langkah berterusan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing di dalam persekitaran yang kompetitif dan mencabar hari ini.

Bagi tujuan itu, katanya, satu pendekatan sistematik diperlukan untuk melahirkan pemikiran yang inovatif dan kreatif. 

Beliau menambah, penambahbaikan bukan sahaja dengan memperkenalkan produk atau perkhidmatan baru tetapi memperbaiki perkhidmatan sedia ada supaya lebih efisyen dengan kos lebih rendah sekali gus memberikan kepuasan kepada pelanggan serta pengguna.

“Produktiviti merupakan elemen penting untuk menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi maju dan negara inklusif selain penting untuk kejayaan jangka panjang sesebuah organisasi.

“Untuk makluman, Sarawak dalam usaha merangka dan menjalankan inisiatif Ekonomi Digital  pelan komprehensif untuk 17 bidang seperti Undang-undang dan Tadbir Urus, Digital Kerajaan, Data Digital, Keselamatan Siber, Infrastruktur Digital, Pertanian, Perlancongan, Pembuatan, Perkhidmatan dan e-Perdagangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Hari E-Produktiviti sempena Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak 2020 bertemakan Inovasi Untuk Kecemerlangan Penyampaian Perkhidmatan anjuran  Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak secara dalam talian menerusi webinar di sini, hari ini.

Menurut Sabariah, kerajaan negeri sedar budaya inovasi adalah sangat signifikan untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri yang kompetitif dan inklusif dari segi pelaksanaan inisiatif pembangunan secara bersepadu ke arah pencapaian ekonomi digital menjelang tahun 2030.

“Oleh itu, Ketua Menteri telah mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (SEAC) pada Mei tahun ini bagi mempermudahkan strategi pemulihan ekonomi pasca COVID-19 sehingga 2030 dengan penekanan kepada ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Mengenai majlis Hari E-Produktiviti MPC itu, Sabariah berkata, penganjurannya adalah selari dengan hasrat kerajaan Sarawak untuk mendedahkan inovasi dan kreativiti terutama di kalangan penjawat awam.

Beliau dimaklumkan program tersebut telah disertai lebih 300 peserta dari sektor awam, swasta dan institusi pengajian tinggi.

“Saya harap pelaksanaan program ini akan mampu memberikan semangat kepada warga kerja untuk terus berinovasi serta lebih kreatif dalam menjalankan tugas terutama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Ia bagi memastikan sistem perkhidmatan yang disampaikan kepada masyarakat supaya lebih cekap, telus dan cemerlang,”ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Seman berkata, program itu bermatlamat untuk membudayakan produktiviti, mencetus inovasi dan memberi pendedahan kepada para penjawat awam Sarawak.

Selain itu, katanya, ia juga bermatlamat mendidik generasi muda mengenai pengertian produktiviti dan inovasi dalam kehidupan seharian secara langsung atau tidak langsung.

“Pengisian program hari ini adalah untuk mencari bakat-bakat baharu dalam kalangan intelektual muda, juga penjawat awam negeri dalam memberi pendedahan mengenai pengendalian isu semasa dan pengurusan sumber yang efisien untuk meningkatkan produktiviti,” katanya.

0 0 vote
Article Rating

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
%d bloggers like this: