Source: Published by Norsyazwani Nasri from Harian Metro on April 24, 2020
<
p style=”text-align: center”>INDUSTRI pelancongan Islam negara boleh melonjak lebih tinggi selepas Covid-19.
cnews@nstp.com.my
INDUSTRI pelancongan Islam merupakan satu segmen yang diyakini boleh menjana hasil lebih tinggi kepada industri pelancongan di Malaysia.
Menyedari potensi yang besar itu, Pusat Pelancongan Islam (ITC) Agensi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi terus meneroka peluang dalam segmen pasaran itu, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam pilihan utama terutamanya selepas krisis Covid-19 berakhir.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini penting kerana asas ekonomi negara perlu dibina semula.
“Berdasarkan pendapatan sebanyak RM16.72 bilion yang dijana segmen ini pada tahun lalu, kita yakin industri pelancongan Islam negara boleh melonjak lebih tinggi selepas Covid-19.
“Ini setelah mengambil kira Malaysia diiktiraf sebagai tempat pertama dalam laporan Global Muslim Travel Index dan destinasi Muslim mesra wanita dalam laporan Muslim Women in Travel oleh MasterCard dan Crescent Rating tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ITC sedang mengatur beberapa program pengguna dan dagangan untuk dilaksanakan selepas Covid-19.
“Ini termasuklah program yang membabitkan produk pelancongan mesra Muslim, hub halal serta keyakinan terhadap jenama pelancongan Islam.
“Saya yakin semua program yang disusun atur mampu menyuntik bukan sahaja minat, malah keyakinan serta kefahaman masyarakat dan penggiat industri terhadap keunikan dan potensi besar pelancongan Islam di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan meneliti semula skop dan fungsi ITC supaya peranannya dapat diperluas dengan fungsi lebih efektif dan holistik.
“Ini bagi memastikan industri pelancongan Islam terus diperkasakan agar dapat memberikan impak yang signifikan kepada sosio-ekonomi negara,” katanya.