Liputan elektrik ke seluruh Sarawak menjelang 2025

Liputan elektrik ke seluruh Sarawak menjelang 2025
Share this:

SHARBINI (kiri) menyampaikan sumbangan duit Raya kepada anak-anak yatim dari Rumah Amal Nur Murni pada Majlis Berbuka Puasa bersama Sarawak Energy di Hotel Hilton, Kuching. – Foto Hazreen Mohamad

KUCHING: Seluruh Sarawak bakal menikmati bekalan elektrik sepenuhnya menjelang 2025 melalui pelbagai inisiatif dilaksanakan Sarawak Energy Berhad (SEB)

Malah, jangkaan itu bersandarkan komitmen firma utiliti itu untuk memastikan 97 peratus rumah di kawasan pedalaman dan luar bandar negeri ini menikmati bekalan elektrik 24 jam tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili, berkata ketika ini, 91 peratus rumah di kawasan pedalaman dan luar bandar sudah menerima kemudahan itu.

“Kita menjangka tambahan enam peratus itu dapat dicapai menjelang tahun depan, seterusnya meningkatkan liputan elektrik domestik keseluruhan dari 95 peratus hingga 99 peratus menjelang 2020.

“Sarawak kini berada di landasan tepat ke arah mencapai kadar liputan elektrik 100 peratus menjelang 2025, sekali gus menawarkan suasana kehidupan lebih selesa kepada rakyat,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa SEB, di sini semalam.

Seramai 30 penghuni Rumah Seri Kenangan dan 56 anak yatim dari Rumah Amal Nur Murni menghadiri majlis berbuka puasa itu dan SEB turut menyumbang duit raya serta pakaian baharu sempena Hari Gawai serta Aidilfitri.

Sharbini ketika mengulas lanjut, berkata sumber hidro menyumbang kira-kira 75 peratus bekalan elektrik di negeri ini, manakala bakinya dijana arang batu dan gas asli.

“Berikutan itu, kami menawarkan tenaga yang boleh diperbaharui dan mampan dengan tarif yang paling rendah di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara,” katanya.

[Source: “Liputan elektrik ke seluruh Sarawak menjelang 2025” published by BeritaHarian Online]

Photo Credits: BeritaHarian Online

By Abdul Qaiyum Alidin

The life of an ordinary guy, an engineer, a scientist, and a social media. Enjoy and have fun!

Related Posts

Skip to toolbar