fbpx

Kota Kinabalu lokasi terbaik laksana trem pertama di Malaysia

Share this:

Teknologi trem dilihat sangat mapan dan mampu memberi kesan positif kepada penduduk setempat. – Gambar hiasan

TATKALA projek kereta api hangat diperkatakan ibarat ‘pisang goreng panas’ di semenanjung Malaysia, siapa sangka sebenarnya bandar raya Kota Kinabalu merupakan destinasi terbaik perlaksanaan Trem pertama di Malaysia.

Mengapa saya kata begitu?

Trem Hong Kong disediakan sebagai salah satu strategi daya tarikan pelancong di kawasan terpilih

Perlaksanaan projek trem ini sinonim dengan kawasan strategik bandar raya Kota Kinabalu.

Siapa yang masih ragu bahawa sebenarnya bandar raya Kota Kinabalu merupakan pusat bandar raya perlancongan bertaraf antarabangsa dan pesat membangun sejak 15 tahun dahulu.

Kawasan bandar rayanya yang hampir dengan laut di samping banyak hotel bertaraf 5 bintang menambahkan lagi seri bandar raya tersebut.

Malah, terdapat perancangan untuk membina hotel dan taman tema perlancongan bertaraf 6 bintang tidak lama lagi.

Itu belum lagi bercakap soal bilangan pelancong yang datang dan ada yang tinggal di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

Menurut sumber Sabah Tourism Malaysia, seramai 3.8 juta orang telah melancong ke Sabah pada tahun 2018 dan daripada jumlah tersebut seramai 1.3 juta merupakan pelancong dari luar negara.

Keadaan ini menjadikan Sabah sebagai salah sebuah destinasi perlancongan unggul di Malaysia. Baik dari Jepun, Korea, China, Taiwan ataupun Eropah, mereka seolah-olah menjadikan Sabah sebagai tempat tinggal kedua mereka.

Soal mereka berbelanja, memang sangat lumayan. Kewujudan gedung membeli belah dan barangan yang dijual berjenama terkenal menjadi salah satu pemangkin kepada peningkatan jumlah pelancong tersebut.

Trem dilihat sebagai sebuah model pengangkutan kereta api yang ringan, bersifat santai, kos efisien dan berkait rapat dengan eko-pelancongan.

Reka bentuk trem adalah berbeza-beza mengikut kehendak dan cita rasa sesebuah bandar. Kebiasaannya, trem beroperasi di kawasan pusat bandar atau kawasan tumpuan pelancongan seperti yang terdapat di Australia, Hong Kong dan negara Eropah.

Bagi memaksimumkan penggunaannya, trem tidak boleh hanya mengambil kira bilangan pengguna di waktu puncak semata-mata tetapi perlu mengambil kira sepanjang pengoperasiannya.

Jika kawasan itu menjadi tumpuan pelancong dan sinonim dengan persekitaran perlancongan, ia satu kelebihan!

Jadi, saya dapat gambarkan dengan jumlah pelancong yang terus meningkat dan persekitaran yang bermiripkan perlancongan di sesetengah kawasan bandar raya Kota Kinabalu, untuk merealisasikan projek trem pertama di Malaysia adalah sesuai.

Situasi ini menyokong kepada kapasiti penggunaan tren seharian. Laluan trem pula boleh dirancang dengan baik melalui kajian awal dan sebenarnya trem boleh mengoptimumkan penggunaan tanah atau jalan raya sedia ada yang melalui kawasan berhampiran laut, hotel-hotel bertaraf antarabangsa, pusat membeli belah dan kawasan tumpuan perlancongan.

Sepanjang laluan tersebut bolehlah mernacang untuk dibina dua atau tiga stesen yang dapat menghubungkan satu kawasan dengan kawasan lain.

Penggunaan tanah sedia ada boleh dimaksimumkan dan akhirnya dapat mengurangkan jumlah kenderaan persendirian di kawasan laluan trem.

Perancangan untuk membina laluan trem ini perlulah kajian terperinci supaya kelangsungan trem dapat diteruskan pada masa akan datang setelah beroperasi.

Hakikatnya, bandar raya Kota Kinabalu mempunyai kelebihan tersendiri sama ada jumlah pelancong yang hadir dan kawasan strategik bandar itu sendiri.

Adalah lebih baik jika jaringan pengangkutan di kawasan bandar raya dipertingkatkan dengan melaksanakan projek trem sesuai dengan bandar raya perlancongan bertaraf antarabangsa!

*Ts. Dr. Mohd Fahmy Abdullah merupakan Penyelidik Utama, Pusat Kecemerlangan Industri Rel (ICoE-Rel), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

[Source: “Kota Kinabalu lokasi terbaik laksana trem pertama di Malaysia” published by Ts. Dr. Mohd Fahmy Abdullah / Astro AWANI]

Photo Credits: Ts. Dr. Mohd Fahmy Abdullah / Astro AWANI

%d bloggers like this: