Kerajaan Tumpu Laksana MA63 – PM

Kerajaan Tumpu Laksana MA63 – PM
Share this:

Kerajaan tumpu laksana MA63 – PM

KUALA LUMPUR (1 September): Kerajaan akan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak mendapat layanan adil seperti penduduk di Semenanjung.

Figure 1: PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Kongres Masa Depan Bumiputra Dan Negara (KBN) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata perjanjian itu akan ‘dihidupkan’ semula supaya semua janji terbabit dapat dilaksanakan.

“Walaupun sekian lama dikebelakangkan, kami sekarang ingin menghidupkan semula perjanjian semasa Malaysia ditubuhkan ini.

“Kita akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan perjanjian ini di mana kita mampu, semua ini akan dilakukan supaya tiada lagi perbezaan layanan kepada Sabah dan Sarawak berbanding di Semenanjung. Insya-Allah kita akan cuba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 (KBN 2018) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak akan sesekali membezakan lagi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung membabitkan pelbagai bidang.

“Soal gaji akan disamakan, tiada lagi gaji minimum di Semenanjung tinggi daripada Sabah dan Sarawak. Kita tidak akan membezakan lagi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Dalam kalangan anggota Kabinet juga, kita mempunyai wakil Sabah dan Sarawak yang mencukupi. Mereka bukan berdiam saja, mereka menegur lebih banyak daripada yang lain kerana mereka memberi perhatian kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir tidak menafikan rakyat Kelantan lebih ke depan dalam aspek perniagaan dan usahawan kerana mereka disifatkan cekap, bijak serta sentiasa mempunyai minda untuk menjana keuntungan.

Bagaimanapun, beliau berkata, persoalan utama ketika ini ialah mengenai kekangan mereka menempa kejayaan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan di tempat kelahiran sendiri.

“Orang Kelantan ini memang pandai berniaga, pergilah mana sekali pun, ada saja mereka, hidup membuka perusahaan secara kecilan sebelum mengembangkannya dalam jangka panjang.

“Tetapi, kebuntuan dihadapi kita ialah mengapa orang Kelantan tidak boleh berjaya dalam perniagaan di negeri sendiri?

“Sebenarnya ia berbalik kepada faktor negeri itu tidak mempunyai kekuatan kewangan, sebaliknya lebih bergantung kepada bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, ada ‘benda’ yang rakyat Kelantan perlu betulkan,” katanya.

[Source: “Kerajaan tumpu laksana MA63 – PM” published by BH/New Straits Times Press (M) Bhd.]

Photo Credits: New Straits Times/New Straits Times Press (M) Bhd.

By Abdul Qaiyum Alidin

The life of an ordinary guy, an engineer, a scientist, and a social media. Enjoy and have fun!

Related Posts

Skip to toolbar