Kempen Sia Sitok Sarawak dilanjutkan hingga 31 Mac 2021

Kempen Sia Sitok Sarawak dilanjutkan hingga 31 Mac 2021
Share this:

KUCHING:Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Kempen Sia Sitok Sarawak akan dilanjutkan sehingga 31 Mac 2021.

Beliau berkata kempen yang melibatkan 30 pakej pelancongan itu telah dilancarkan pada 15 Julai lalu dan dijadual berakhir Disember tahun ini.

“Kempen Sia Sitok Sarawak pada mulanya dijadual berakhir 31 Disember 2020 tetapi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) selaku agensi utama melaksanakan kempen ini telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaannya hingga 31 Mac 2021.

” Manakala tempahan untuk pakej-pakej yang ditawarkan boleh dibuat sehingga 31 Disember tahun ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kursus ePelancongan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata ia lanjutan tempoh Kempen Sia Sitok Sarawak dibuat berikutan peningkatan semula kes COVID-19 di negeri ini dan bagi memberi peluang kepada rakyat Sarawak khasnya menikmati pakej pelancongan dalam negeri.

Keputusan itu dibuat juga katanya dengan mengambil kira cuti persekolahan dan Tahun Baharu Cina pada Januari dan Februari 2021.

“Selain mempromosi produk pelancongan domestik, ia juga salah satu cara kita membantu pemain-pemain industri pelancongan yang amat terkesan impak pandemik COVID-19.

“Menerusi kempen ini juga, ramai akan mendapat manfaat seperti pengeluar produk-produk makanan tempatan, kraftangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata jumlah pakej pelancongan yang telah ditempah setakat ini ialah 569 melibatkan 3,167 pelancong rakyat Sarawak dan menjana pendapatan RM340,000.

Manakala RM340,000 lagi akan dibayar oleh kerajaan negeri dalam bentuk subsidi kepada pemain-pemain industri yang menawarkan pakej-pakej di bawah kempen berkenaan.

Abdul Karim ketika menyempurnakan majlis pelancaran rasmi Kempen Sia Sitok Sarawak pada 17 Ogos 2020 berkata kempen berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk merangsang serta menghidupkan semula sektor pelancongan di Sarawak yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya lagi kempen berkenaan dirancang oleh STN dan Persatuan Pelancongan Sarawak (STF) bagi memasarkan 30 pakej pelancongan pada kadar diskaun hebat sehingga 50 peratus.

Keterangan lanjut mengenai kempen Sia Sitok Sarawak dan pakej-pakej diperkenalkan, boleh didapati di portal rasmi siasitoksarawak.rezgo.com

[Source: “Kempen Sia Sitok Sarawak dilanjutkan hingga 31 Mac 2021” published by Utusan Borneo]
By Abdul Qaiyum Alidin

The life of an ordinary guy, an engineer, a scientist, and a social media. Enjoy and have fun!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Related Posts

Skip to toolbar