Kampung Warisan Bandar Raya Kuching

Share this:

Kampung Warisan Bandar Raya Kuching

KUCHING (26 Oct 2018): Kampung Warisan Bandar Raya Kuching atau ‘Kampung Heritage’ merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak memartabatkan perkampungan sebagai kawasan warisan sekali gus menjadi destinasi pelancongan dunia.

Timbalan Ketua Saintis dan Ketua Penasihat Ekonomi Digital Sarawak Profesor Dr Al-Khalid Othman berkata, Kampung Heritage adalah salah satu daripada empat komponen dalam ‘Old Ku-ching Heritage’ yang merupa-kan antara inisiatif di bawah strategi ekonomi digital Sarawak bagi 2018-2022.

“Ini adalah inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menjadikan bandar raya Kuching sebagai bandar raya bersejarah yang diiktiraf dunia dan terus menjadi pemangkin dalam meningkatkan ekonomi daripada sektor pelancongan termasuk sosioekonomi penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Malah, Khalid berkata, selain daripada pembangunan fizikal pemeliharaan dan pengekalan yang berteraskan warisan, pelbagai aktiviti berasaskan kebudayaan tempatan turut dirancang dan dilaksanakan.

“Sebagai permulaan, Pesta Warisan Melayu 2018 yang merupakan salah satu aktiviti Kampung Heritage julung kali diadakan pada 27 dan 28 Oktober ini di pekarangan Kompleks Sukan Komuniti Satok dan dirancang untuk dijadikan sebagai acara tahunan,” tambahnya.

Pada masa sama beliau menjelaskan, ia adalah untuk memastikan kelestarian sektor pelancongan di kawasan terlibat.

Menurutnya, pembangunan ini dirancang serta ditubuhkan dengan visi menjadikan bandar raya Kuching sebagai sebuah lokasi pelancongan warisan dunia serta dapat menarik pelancong sama ada di peringkat domestik, nasional mahupun antarabangsa.

“Hasrat ini boleh dicapai dengan mewujudkan daya saing bandar raya Kuching sebagai destinasi pelancongan berasaskan pemeliharaan dan pengekalan warisan sedia ada.

“Dalam pada itu, ia dapat meningkatkan status sosio-ekonomi dan sosiobudaya masyarakat setempat, malah ia secara tidak langsung menjadi sumber pendapatan di peringkat Kerajaan Sarawak,” jelasnya.

Antara pembangunan yang dibawa di bawah inisiatif Kampung Heritage itu, kata Khalid, projek mengindahkan kawasan kampung terlibat, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), lampu jalan dan penubuhan Pusat Penerangan Pelancong Ajibah Abol (AATIC).

Selain itu katanya, naik taraf jeti Kampung Binta-ngor, transformasi perahu tambang, e-basikal, khidmat pengangkutan ‘multimode’, pengindahan tebing sungai, pemasangan lampu LED di tebing sungai dan sebagainya.

“Kita juga akan menaik taraf rumah yang berada di tebing sungai Kampung Masjid untuk mengindahkan pemandangan di tebing sungai di kawasan tersebut.

“Dan rumah-rumah ini dijadikan sebagai inap desa yang akan menjadi lokasi untuk pelancong merasai sendiri pengalaman hidup di kampung,” ujarnya.

Justeru, orang ramai dipe-lawa menyertai Pesta Warisan Melayu 2018 yang diadakan pada 27 dan 28 Oktober ini di pekarangan Kompleks Sukan Satok, Padang SLPAS, Kuching.

Source: [“Kampung Warisan Bandar Raya Kuching” published by Utusan Borneo Online]

Photo Credits: BorneoPost/Utusan Borneo Online

Share this: