JOKO Widodo
JAKARTA: Indonesia sudah membuat keputusan memindahkan ibu negaranya dari Jakarta, bandar raya keempat paling sesak di dunia ke lokasi di luar Pulau Jawa.
Menurut Menteri Perancangan, Bambang Brodjonegoro, lokasi baru ibu negara Indonesia itu bagaimanapun, belum diputuskan.
“Presiden Joko Widodo (Jokowi) sudah membuat keputusan memindahkan ibu negara luar dari Pulau Jawa, satu keputusan yang penting,” katanya selepas mesyuarat kabinet di sini, semalam.
Menurutnya, lokasi pemindahan belum diputuskan namun mempertimbangkan kawasan di sebelah timur Indonesia.
Sebelum ini, agensi berita Antara melaporkan, antara wilayah yang berada dalam senarai lokasi pemindahan ialah Palangkaraya di Kalimantan Tengah.
Widodo menekankan pentingnya mempertimbangkan kemajuan negara pada masa depan dan pemindahan ibu negara itu memerlukan persediaan rapi, yang mungkin terlaksana dalam masa 10 tahun.
Jakarta kini mempunyai 10 juta penduduk, namun jumlah penduduk di wilayah sekitarnya berjumlah tiga kali ganda.
Menurut Bambang, kesesakan lalu lintas di Jakarta menyebabkan kerugian dari segi ekonomi berjumlah 100 trilion rupiah setahun (RM29.11 bilion) selain ancaman banjir dan kadar ‘tenggelam’ yang pantas berikutan aktiviti menyedut air bawah tanah keterlaluan.
Selain itu, hampir 60 peratus daripada 260 juta penduduk Indonesia tinggal di Pulau Jawa menyebabkan kegiatan ekonomi hanya tertumpu di pulau itu.
[Source: “Indonesia pindahkan ibu negara” published by Harian Metro / New Straits Times Press (M) Bhd.]