KUALA LUMPUR, 12 Okt — D-Virtual Park, taman tema realiti maya (VR) pertama di Borneo oleh Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) yang dilancarkan secara rasmi di Kota Samarahan, Sarawak, hari ini merupakan inisiatif terbaik oleh syarikat itu untuk memberi kesedaran dan pendedahan dalam kalangan penduduk luar bandar mengenai teknologi terbahru dan penggunaan peranti serta aplikasi digital.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata taman tema VR itu seirin dengan agenda kerajaan Sarawak untuk memacu ekonomi digital kerana ia adalah salah satu cara untuk merevolusikan ekonomi digital dalam kalangan 2.8 juta penduduk tempatan.
“Untuk menjadi agresif di pasaran, kita harus dihubungkan dengan pasaran.
“Oleh itu, kita mesti menggunakan penghubung ke pasaran, iaitu dengan mempromosikan penggunaan lejer digital terbuka, pautan yang dihubungkan ke seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran hari ini.
Beliau juga berkata kerajaan negeri Sarawak ketika ini sedang dalam usaha untuk meningkatkan infrastruktur jaringannya, ia telah melabur sebanyak RM1 bilion daripada dana negeri bagi kerja-kerja menaiktaraf, termasuk memasang menara telekomunikasi, selain menerima bantuan yang sesuai daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Abang Johari juga berkata memandangkan kegiatan pertanian negeri merangkumi sebahagian besar penduduk, kerajaan negeri sedang mempromosikan pertanian komersial berdasarkan teknologi secara agresif, pada masa yang sama meneruskan penggunaan Sarawak Pay, negeri pertama yang memperkenalkan sistem pembayaran mudah alih di negara ini.
Beliau berkata simulasi dalam VR dan realiti terimbuh (AR) dalam permainan dan studio disediakan untuk orang ramai, pelajar dan usahawan itu dapat mencabar pemikiran individu untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif di taman tema VR tersebut,
Sementara itu, Pengerusi Serba Dinamik Group Bhd, Datuk Abdul Kadier Sahib berkata walaupun pandemik COVID-19 telah memberi banyak cabaran bagaimanun ia telah mengubah pemikiran masyarakat, terutama warga emas dan mereka yang enggan menggunakan teknologi dan aplikasi digital pada mulanya untuk menyesuaikan diri dengan menggunakan telefon pintar dan membeli-belah dalam talian.
“Di sini (taman VR)… juga terdapat kemudahan studio kreatif dan bagi syarikat pemula niaga, syarikat berkenaan dapat dihubungkan ke tiga pusat kemudahan penyelidikan lain di dunia, iaitu Indian Institute of Technology Madras; Stanford Universiry, California dan Makmal Inovasi Terbuka Shenzhen,” katanya.
Abdul Kadier berkata D-Virtual Park dimulakan oleh SDHB untuk menyokong agenda ekonomi digital kerajaan negeri dan dibina menggunakan teknologi digital terbaik terdiri daripada realiti maya dan hiburan digital yang inovatif.Beliau berkata, SDHB melabur sebanyak RM13 juta untuk membangunkan taman tema itu, ia diharapkan dapat menarik 500,000 pengunjung dalam tahun pertama pembukaannya.
Memorandum persefahaman (MoU) oleh unit milik penuh SDHB Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd (SDIT) dengan Persatuan E-Sukan Sarawak (SESA) turut diadakan pada majlis pelancaran tersebut.
MoU ini bertujuan untuk mempromosikan penggunaan digital dalam kalangan mereka yang berbakat pada masa depan melalui industri e-sukan, serta, mewujudkan dan bekerjasama dalam penggunaan SESA Mini Esports Hub @ D-Arena di Studio Inovasi Digital Serba, Kota Samarahan untuk industri e-sukan, kreatif, animasi dan permainan (VR dan AR).
SDIT juga menandatangani MoU dengan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) untuk mempromosikan dan memperkasakan digital bagi wanita dalam teknologi dan perusahaan di Sarawak, serta, untuk menjalin kerjasama dan kolaborasi dalam memanfaatkan Serba Digital Innovation Studio dan pusat JWKS bagi wanita mengambil bahagian dalam program inovasi dan kepimpinan.
Selain itu, StartUp Borneo menandatangani MoU dengan Women Rise Malaysia untuk mempromosikan dan memperkasakan digital bagi wanita dalam teknologi dan perusahaan serta menjalinkan kerjasama dengan menggunakan Serba Digital Innovation Studio.
Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SDHB, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah yang tidak dapat menghadiri acara tersebut kerana menjalani tempoh kuarantin berkata kerjasama itu akan membuka lembaran baharu untuk usaha teknologi kumpulan itu dan ia akan memperluasakan penggunaan teknologi Revolusi Industri 4.0.Revolusi Perindustrian 4.0.
“Kami mahu pengunjung ke D-Virtual Park melihat kemampuan teknologi ini dan bagaimana ia dapat membantu dalam kehidupan seharian.
“Ini termasuk mendekati golongan wanita dan menunjukkan kepada mereka apa yang dapat dilakukan oleh teknologi ini untuk mereka. Kami berharap dapat mempromosikan dan memperkasakan mereka dengan teknologi ini yang kami percaya ia adalah alat penting untuk era digital dalam kehidupan ketika ini,” katanya.
— BERNAMA
Related Posts
Kerjasama latih bakat Sarawak mahir kendali helikopter luar persisir
Mata uang kripto besutan Meta kini mengalami kegagalan dalam peluncurannya. Sia…
Membuat pelanggan puas saja tentunya masih kurang tanpa adanya pengukuran yang p…