CRRC Mahu Tingkatkan Kerjasama Dengan Syarikat Pembekal Di Malaysia

Share this:

CRRC mahu tingkatkan kerjasama dengan syarikat pembekal di Malaysia

BATU GAJAH (4 Oktober): Rolling Stock Centre (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat firma China Railway Rolling Stock Corp (CRRC) mahu mempertingkat kerjasama dengan syarikat pembekal Malaysia dan dari China bagi pembuatan kereta api yang dijalankan syarikat itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming berkata langkah itu perlu dilaksanakan memandangkan setakat ini syarikat di Malaysia hanya membekalkan kira-kira 20 peratus komponen untuk kilang Rolling Stock Centre tersebut.

Figure 1: LAWAT: Ong (tengah) melawat kawasan pembinaan kereta api ketIka mengadakan lawatan ke China Railway Rolling Stock Corp (CRRC) semalam. Turut hadir Pengurus Besar CRRC Jiang Zhengguang (dua, kanan).

Beliau berkata, jumlah pembekalan yang rendah itu disebabkan syarikat pembekal di Malaysia tidak mempunyai kapasiti untuk memenuhi permintaan syarikat berkenaan.

“Jumlah itu (pembekalan) adalah kurang daripada 30 peratus yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebagai satu syarat bagi menawarkan kontrak pembekalan ETS (Perkhidmatan Tren Elektrik) dan sebagainya untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Rolling Stock Centre di sini semalam.

Kilang yang telah beroperasi selama tiga tahun dan mempunyai 182 pekerja itu memberi tumpuan kepada tiga operasi iaitu pembuatan, baik pulih dan perkhidmatan serta penyenggaraan kereta api seperti tren Transit Aliran Ringan (LRT).

Menurut Ong, CRRC telah mengenal pasti satu syarikat pembuatan pendingin hawa dari China, dan Malaysia di Klang, Selangor untuk membekalkan komponen tersebut kepada kilang itu.

“Bagi saya ia satu petanda yang baik dan saya harap komponen lain juga mereka (syarikat China dan Malaysia) boleh hasilkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ong berkata Perak perlu memberi gambaran yang lebih menyeluruh mengenai kelebihan dan pencapaian pelaburan di negeri ini kepada pelabur dari dalam dan luar negara.

“Perak ada banyak kelebihan termasuk dari segi kos menjalankan perniagaan yang lebih rendah, boleh membeli tanah pada kadar yang lebih rendah berbanding di Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Perak juga tidak sesak seperti di Kuala Lumpur dan Selangor. Buat masa sekarang juga penggunaan air (di Perak) adalah lebih lancar dan tidak sukar seperti Selangor dan Kuala Lumpur, jadi saya rasa butiran seperti ini memang perlu dimaklumkan kepada pelabur asing,” katanya.

[Source: “CRRC mahu tingkatkan kerjasama dengan syarikat pembekal di Malaysia” published by Bernama]

Photo Credits: Bernama

Share this: