Bombardier, MIGHT meterai MoU bangunkan kepakaran industri rel negara
BERLIN (Sep 20): Bombardier Transportation telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kumpulan Industri Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) yang menggariskan kerjasama mereka dalam membangunkan kepakaran industri rel yang berkembang pada tahun depan.
MoU itu ditandatangani oleh Parasuraman Jayaram Naidu, Ketua Asia Tenggara, Bombardier Transportation dan Datuk Dr Mohd. Yusoff Sulaiman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT dan disaksikan oleh H.E Datin Sarah Al Bakri Devadason, Duta Besar Malaysia ke Jerman dan Encik Yusri Hasnan Chu, Konsulat Jeneral Malaysia & Pengarah Serantau, Jerman & Benelux.
Figure 1: Bombardier and Might sign MoU to develop rail industry expertise in M’sia.
Kerjasama bersama MIGHT, yang merupakan sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia dengan mandat untuk membangunkan industri teknologi tinggi, akan menyokong perusahaan kecil dan sederhana dari sektor pembuatan dan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi dengan meningkatkan kemahiran teknikal industri rel mereka. Di Malaysia, Bombardier telah bergiat aktif melaksanakan program siswazah sejak dua tahun lalu dengan persatuan universiti untuk menyediakan bakat muda, serta mengembangkan keupayaan mereka dalam industri rel.
Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman menyatakan, “Kami sangat menghargai penglibatan aktif Bombardier dalam pembangunan keupayaan dan kemampuan perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia. MIGHT telah membangunkan Rangka Tindakan Pembangunan Industri Rel pada tahun 2012 melalui satu persetujuan bersama antara Industri-Kerajaan tentang hala tuju masa depan bagi industri rel tempatan, yang memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan lebih banyak peluang perniagaan untuk pemain tempatan, pembangunan modal insan serta penyelidikan dan teknologi. MIGHT juga menghargai usaha oleh SME Corporation, sebagai dana untuk Projek Impak Tinggi bagi sektor rel dan Perbadanan Industri Rel Malaysia (MARIC) untuk mempromosikan program ini dalam kalangan anggotanya. ”
Jayaram Naidu pula mengulas, “Di Bombardier, kami komited untuk membangunkan kepakaran tempatan dalam industri rel dan melabur dalam komuniti di mana kami beroperasi. Dengan beberapa tonggak kerjasama yang penting di Thailand, Singapura dan Malaysia yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan sejak empat tahun kebelakangan ini, kami percaya inisiatif ini akan memacu produktiviti, meningkatkan prestasi dan meningkatkan daya saing – akhirnya meningkatkan prestasi industri rel serantau dan global. ”
Kehadiran Bombardier di Malaysia bermula pada tahun 1992 sebagai pembekal utama untuk laluan 27-kilometer Kuala Lumpur Sri Petaling dan Ampang. Semenjak itu, pelbagai sistem transit Bombardier telah dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan laluan 29-kilometer Kelana Jaya LRT, yang menghubungkan pinggir barat dan timur dengan pusat bandar Kuala Lumpur ketika Sukan Komanwel tahun 1998. Pada tahun 2017, rangkaian LRT Kelana Jaya menjadi laluan tersibuk di bandar, bergerak membawa sehingga 255,000 penumpang setiap hari dengan permintaan penumpang dijangka semakin meningkat. Di samping menyokong pertambahan pengguna yang semakin meningkat, Bombardier juga menambah nilai kepada kitaran hidup armada rel dengan membaik-pulih rel asal di negara ini.
[Source: “Bombardier, MIGHT meterai MoU bangunkan kepakaran industri rel negara” published by Astro Awani Network Sdn. Bhd.]Photo Credits: Astro Awani Network Sdn. Bhd.