PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Western Digital Sdn Bhd menambah pelaburan sebanyak RM2.3 bilion bagi meningkatkan kemudahan dan kapasiti pengeluarannya di negara ini.
Katanya, ini menjadikan keseluruhan pelaburan syarikat pengeluar peralatan storan digital terkemuka itu di Malaysia berjumlah hampir RM18 bilion setakat ini.
Pejabat Perdana Menteri berkata, pelaburan itu dipersetujui semasa pertemuan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dengan Pengerusi Kumpulan Operasi Western Digital Malaysia, Syed Hussian Aljunid hari ini.
Katanya, pelaburan tambahan itu membuktikan keupayaan kerajaan dalam menguruskan ekonomi dan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran serta kestabilan negara ketika dunia masih berdepan penularan Covid-19.
“Pelaburan baru itu akan diperuntukkan untuk memperluaskan fasiliti dan kapasiti kilang di Western Digital Media Pulau Pinang dan Western Digital Sarawak.
“Pelaburan tambahan ini akan memberi manfaat ekonomi kepada negara, selain membuka peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 penduduk tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pejabat Perdana Menteri berkata, Muhyiddin mengalu-alukan syarikat melabur dalam industri berasaskan teknologi dan berimpak tinggi di Malaysia.
“Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan agensi berkaitan lain sentiasa komited dalam menarik pelaburan dan meyakinkan pelabur untuk melabur atau membuat pelaburan tambahan di Malaysia.”
Nilai eksport Western Digital dari Malaysia berjumlah RM17 bilion pada 2019.
[Source: “Western Digital tambah pelaburan RM2.3 bilion di Malaysia” published by Free Malaysia Today/MSN News]
Related Posts
Kerjasama latih bakat Sarawak mahir kendali helikopter luar persisir
Mata uang kripto besutan Meta kini mengalami kegagalan dalam peluncurannya. Sia…
Membuat pelanggan puas saja tentunya masih kurang tanpa adanya pengukuran yang p…