KOTA SAMARAHAN: Serba Dinamik komited membangunkan komuniti inovatif melalui pendedahan kepada kemudahan inovasi teknologi terkini selaras dengan perkembangan Revolusi Industri (IR4.0).
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Holdings Berhad Datuk Dr Ir. Mohd Abdul Karim Abdullah (gambar) berkata, melalui Taman D-Virtual, komuniti akan terlibat dalam membangunkan produk melalui daya kreativiti dan inovasi mereka.
Menurutnya, sebagai syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas, penglibatan dan pelaburan pihaknya dalam Taman D-Virtual itu merupakan langkah jangka panjang setelah melihat potensi teknologi digital khasnya, IR4.0.
“Kita bawa pengalaman realiti maya (VR) ini sebagai teknologi pemula dalam IR4.0 melalui permainan. Dengan ini, komuniti dapat merasai pengalaman kecanggihan teknologi VR ini.
“Menerusinya kita dapat membangunkan daya psikologi otak manusia dalam aspek kreativiti (otak kanan) dan memori (otak kiri) secara amnya,” katanya ketika berucap dalam sesi bersama media di D-Virtual Park di sini baru-baru ini.
Beliau percaya, sebagai pemain industri, tidak kira status sesebuah komuniti itu, keupayaan otak kanan mencipta inovasi dan kreativiti perlu dikembangkan secara berterusan menerusi platform yang betul.
“Seperti keupayaan pemain e-sukan berkelas antarabangsa, mereka perlu mempunyai daya pemikiran strategik dan sentiasa berfikir di luar kotak. Ini turut mengaktifkan peranan otak kanan, seterusnya melibatkan daya ingatan.
“Malah dalam komponen e-sukan, elemen perhubungan rangkaian yang dijalin di peringkat global penting dalam membangunkan jenama dan membantu membentuk perniagaan nilai pulangannya berbilion ringgit untuk tempoh jangka panjang,” katanya. D-Virtual Park jelasnya, menyediakan platform untuk rakyat negeri ini bekerjasama dengan Persatuan E-Sukan Sarawak (SESA) dan persatuan lain termasuk di peringkat Malaysia, rantau Asia dan global.
Dalam sesi bersama media itu, pengamal media dibawa merasai pengalaman bermain permainan VR di VR Theme Park, termasuk dibawa ke SD X Arena (lokasi atlet e-sukan Sarawak berlatih), SD X Studio and Fablab, iaitu ruang untuk pemain industri kreatif menghasilkan inovasi mereka.
Turut disediakan ruang D-Tamu untuk komuniti setempat menjalankan perniagaan dengan medium pembayaran digital akan diperkenalkan bagi urusan jual beli.
Related Posts
Kerjasama latih bakat Sarawak mahir kendali helikopter luar persisir
Mata uang kripto besutan Meta kini mengalami kegagalan dalam peluncurannya. Sia…
Membuat pelanggan puas saja tentunya masih kurang tanpa adanya pengukuran yang p…