Sarawak terus perkasa sektor PKS: Awang Tengah

Sarawak terus perkasa sektor PKS: Awang Tengah
Share this:

LIMBANG: Sarawak terus memperkasa sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan premis perniagaan di negeri ini sekali gus melahirkan usahawan Bumiputera berjaya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kebanyakan pertubuhan perniagaan yang berpotensi berkembang terdiri daripada PKS.

“Ini menunjukkan PKS merupakan tonggak kekuatan pembangunan ekonomi negara, selain menyediakan peluang pekerjaan.

“Oleh itu kerajaan negeri memberi fokus untuk memperhebat industri ini dengan menyediakan kemudahan berniaga kepada usahawan Bumiputera,” katanya pada perasmian Anjung Usahawan Limbang di sini, semalam.

Turut hadir isteri Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datu Liaw Soon Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Mohamad Silmi Abdul Rahman, Residen Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata lagi, Limbang masih menjadi pilihan utama pembeli terutama dari Brunei untuk membeli-belah.

“Oleh itu, golongan peniaga perlu memanfaatkan peluang ini dengan menyediakan produk berkualiti yang mampu menarik minat pembeli terutama produk tempatan,” ujarnya.

Sebagai usahawan yang ingin berjaya ujarnya, mereka tidak harus berasa rendah diri dan fokus untuk meningkatkan perniagaan.

Anjung Usahawan jelas beliau, merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri dalam menggalakkan usahawan Bumiputera menceburi aktiviti industri kecil dan sederhana.

Jelasnya, kemudahan yang disediakan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan itu penting berikutan peningkatan jumlah usahawan di daerah berkenaan yang memerlukan kemudahan perniagaan untuk memasarkan produk mereka.

“Konsep pembangunan Anjung Usahawan berperanan sebagai pusat sehenti untuk menjual produk serta tempat untuk pemprosesan dengan menyediakan ruang perniagaan, selain tempat untuk mengadakan kursus dan seminar,” katanya.

Awang Tengah berkata, pada masa ini banyak platform untuk memoromosikan produk terutama melalui media sosial.

Kata beliau, kerajaan amat memahami masalah kekurangan premis perniagaan yang dihadapi golongan peniaga dengan menyediakan Anjung Usahawan melalui peruntukan pembinaan kemudahan itu di Sarawak.

“Kerajaan juga merancang untuk membina beberapa lagi Anjung Usahawan di Limbang serta estet industri di Limbang dengan kos RM30 juta,” ujarnya.

Related Posts

Skip to toolbar