KUALA LUMPUR, 9 Feb — Serba Dinamik Group Bhd merancang melancarkan secara rasmi D’Virtual Park, taman tema realiti maya pertama dengan teknologi hologram di Malaysia, pada minggu ketiga Mac tahun ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulannya Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata pelancaran awal taman tersebut yang terletak di Kota Samarahan, Sarawak, dijadualkan pada minggu pertama Mac.
“Taman itu kini sudah hampir sedia untuk dibuka kepada orang ramai. Kami telah membawa banyak institusi lain yang melahirkan minat mereka (untuk menjadi sebahagian daripada taman itu), kami juga ada berhubung dengan beberapa agensi pelancongan dan pengawal selia.
“Saya rasa apa yang kami lakukan (menerusi pembukaan taman itu) adalah meletakkan nama Samarahan di peta dunia,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Mengulas mengenai sasaran pengunjung, beliau berkata ketika ini Sarawak menerima kemasukan kira-kira 3.87 juta pelancong dan Serba Dinamik menyasar 500,000 pengunjung daripada jumlah itu bagi tahun pertama operasinya.
D’Virtual Park dibangunkan dengan pelaburan berjumlah RM13 juta, yang mana RM8 juta adalah bagi pembangunannya manakala baki RM5 juta adalah bagi kerjasama dengan syarikat pemula niaga yang akan menyumbang teknologi mereka bagi taman itu.
Taman itu menampilkan tujuh daya tarikan dilengkapi dengan teknologi tinggi canggih yang terdiri daripada kunjungan maya perayauan bebas, mainan tunggangan yang menyeronokkan serta medan pertempuran maya.
Mohd Abdul Karim berkata D-Virtual Park menyesuaikan permainannya agar ia boleh dinikmati oleh semua pemain yang memiliki kemahiran berbeza-beza.
“Permainan kami direka bagi mengoptimumkan keutamaan individu. Bukan itu sahaja, kami juga merupakan antara perintis taman maya yang memberikan audiens kami peluang merasai pengalaman menonton pertunjukan teater hologram yang disesuaikan, menawarkan pengalaman sinematik paling revolusi,” katanya.
Sejajar dengan agenda kerajaan menggalakkan ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) taman tema itu akan memainkan peranan penting dalam teknologi digital untuk menyokong agenda tersebut.
Mohd Abdul Karim berkata taman tema itu ditempatkan di sembilan blok bangunan tiga tingkat dengan kawasan seluas 5,130 kaki persegi secara kerjasama dengan Borneo Start-up.
Beliau berkata kerjasama dengan Borneo Start-up itu akan mewujudkan akses dan menyediakan perangkaian besar bagi pemula niaga dalam segmen teknologi digital.