Masbudi Abdul Malek mengutip purata 300kg hingga 400kg sampah setiap kali membersihkan Sungai Selangor. — Foto-foto oleh Yusof Mat Isa
KUALA SELANGOR, 7 Jun — Seorang pemuda di Kampung Kuantan di sini dianggap “gila” dan “bodoh” hanya kerana usahanya mengutip sampah sarap dengan menaiki sampan di sepanjang Lembangan Hilir Sungai Selangor.
Namun, Masbudi Abdul Malek, 33, tidak peduli dengan kritikan itu kerana beliau tidak sanggup melihat alam sekitar tempat tinggalnya tercemar akibat sikap “tidak ambil peduli” manusia.
Berbekal tangguk, sarung tangan, but, plastik hitam dan jaket keselamatan, Masbudi turun ke sungai dan mendayung sampan sejauh empat hingga enam kilometer untuk mengutip sampah yang dibuang penduduk dan projek pembangunan sekitar.
“Biasanya dua kali sebulan saya akan turun menyusuri sungai seawal jam 9 pagi di sekitar kawasan jeti,” katanya kepada ProjekMM.
“Secara purata saya dapat 300kg hingga 400kg setiap kali kutip. Paling banyak pernah kutip sehingga 1.5 tan sampah.
“Paling banyak jenis domestik seperti plastik, kaca dan polisterin. Kadang kala macam-macam sampah pelik saya jumpa seperti lampu isyarat, tilam, kepingan besi kereta, peti ais, dan mesin basuh. Perabot dan sofa itu perkara biasa,” katanya, tertawa.
Masbudi Abdul Malek mendayung sampan sejauh empat hingga enam kilometer untuk mengutip sampah.
Mendapat sokongan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Persatuan Pendayung Kuala Selangor, Masbudi berkata usaha memulihara sungai bermula sejak 2014 apabila pelancong warga asing mengadu sampah di kawasan itu.
“Pelancong datang nak tengok kelip-kelip dan merasai pengalaman menaiki sampan sambil menikmati flora dan fauna sepanjang kawasan konservasi Sungai Selangor.
“Pencemaran sampah sedikit sebanyak menjejaskan keunikan alam sekitar kawasan ini,” kata pengasas NGO Inspirasi Kawa atau mesra dengan panggilan Edi.
Anak sulung dua beradik berkata usahanya itu juga demi menyelamatkan populasi serangga kelip-kelip yang terkenal dan tanaman bakau di sepanjang zon lindungan.
“Kelip-kelip memerlukan pokok berembang selain pokok sagu dan nipah untuk mendapatkan nektar dan tempat mengawan. Kita bimbang bukan sahaja menjejaskan pelancongan malah spesis serangga ini semakin berkurangan akibat pencemaran sungai dan sampah sarap,” katanya.
Demi menyelamatkan Sungai Selangor, pemuda berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) belajar secara tidak formal dari bacaan, artikel, visual dari internet tentang kualiti air dan pemuliharaan sungai secara saintifik.
Beliau turut mendapat khidmat nasihat penyelidik Universiti Malaya (UM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas), selain NGO dan penyelidik luar termasuk Jepun dan United Kingdom (UK).
Usahanya mula mendapat perhatian apabila ada generasi muda di situ yang menyertai beliau membersihkan sungai dan memberi kesedaran kepada penduduk tempatan tentang pengurusan sampah.
Bermacam-macam ‘sampah pelik’ termasuk lampu isyarat, peti ais, mesin basuh, perabot dan sofa.
Pelajar Tingkatan Enam Kolej Sultan Abdul Aziz Shah, Fitri Aiman Mohd Rasid, 18, berkata beliau mula tertarik dengan usaha Edi dan turut ikut sama dalam usaha konservasi sejak darjah enam.
“Awalnya saya tidak tahu apa-apa tetapi ibu bapa yang galakkan saya ikut program komuniti yang dianjurkan kerjasama dengan pelajar universiti tempatan.
“Dari situ saya mula belajar tentang tanam pokok, kelip-kelip, kualiti air, buat sampel pokok bakau,” katanya yang turut disertai dua lagi adik beradiknya.
Remaja dari Kampung Tanjung Siam Baru itu mengakui turut berdepan cabaran daripada segelintir masyarakat yang masih memandang ringan terhadap usaha mereka.
“Orang kampung sendiri tanya buat apa (kutip sampah)? Buat penat sahaja.
“Ada segelintir orang tua yang kecam, orang muda pula buat tak tahu. Pernah buat program kutip sampah, jalinan masyarakat tapi orang kampung tak nak datang,” katanya.
“Saya cuma berharap kalau boleh nak lihat sungai ini kembali pulih seperti dahulu.
“Orang tua-tua kata dulu sungai ini boleh minum, sekarang nak celup tangan pun kena fikir dua, tiga kali. Dahulu populasi kelip-kelip banyak sekarang dah kurang,” katanya lagi.
[Source: “Dianggap gila, pemuda kutip 1.5 tan sampah di Sungai Selangor (VIDEO)” published by projekmm.com]Photo Credits: projekmm.com