SHAH ALAM: Serba Dinamik Holdings Bhd menyasarkan pendapatan di antara RM150 juta dan RM200 juta daripada segmen teknologi maklumat (IT) tahun ini, berbanding hanya RM8 juta pada tahun lalu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata peningkatan mendadak sehingga 25 kali ganda itu sebahagiannya akan disumbangkan oleh penganjuran sidang kemuncak oleh syarikat itu pada bulan depan.
Katanya, sidang kemuncak yang kali pertama dianjurkan itu akan dijadikan platform untuk pihaknya mempamerkan semua produk IT miliknya dan mendapatkan pelanggan baharu.
“Beyond Paradigm Summit 2019 yang akan diadakan pada bulan depan dianjurkan oleh Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd buat kali pertama dan menjadi medan terbaik buat syarikat untuk mempamerkan semua produk IT kami.
“Sidang kemuncak ini adalah strategi pemasaran dan jualan lompat kuantum yang mana kami mahu orang mengenali kami dengan lebih meluas dan pantas.
“Kami telah melakukan pengiraan dan yakin sidang kemuncak ini mampu membantu syarikat mencapai sasaran RM150 juta ke RM200 juta jualan dari segmen IT kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.
Sidang kemuncak pada 17 Julai ini akan diadakan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang akan mempamerkan pelbagai teknologi canggih yang merangkumi idea teras digitalisasi dan pertukaran data yang merentasi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata dari Januari hingga April tahun ini, perniagaan IT menyumbang RM25 juta jualan.
“Biarpun perniagaan utama Serba Dinamik ialah operasi dan penyelenggaraan serta kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC), kami percaya yang syarikat perlu memiliki keupayaan dalam IT bagi mengukuhkan daya saing kami.
“Kami telah menubuhkan keseluruhan rangkaian dan infrastruktur bagi mengukuhkan kedudukan IT kami di peringkat global.
“Syarikat juga telah menubuhkan makmal inovasi di Institut Teknologi India di Chennai dan telah berjaya menarik ramai profesional dan dari bidang lain di India untuk bekerja dengan kami,” katanya.
[Source: “Serba Dinamik sasar IT jana hasil RM200 juta” published by Berita Harian]