KUCHING, 25 MEI 2019 (SNN) – Pertandingan futsal selepas solat tarawih di bulan Ramadan Mubarak di Kampung Samariang dipersoalkan masyarakat Bandaraya Kuching Utara.
Bagaimanapun bagi belia di kampung ini berpuasa dan bertarawih di bulan Ramadan bukanlah menjadi penghalang untuk bersikap lemah dan tidak proaktif. Puasa juga bukan menjadi alasan untuk kita tidak dapat beriadah.
Atas tekad tersebut, Kelab Belia KASBA, telah menjalin kerjasama dengan Pergerakan Pemuda PBB Ranting KASBA A selaku penganjur utama untuk mengadakan Pertandingan Futsal KASBA MUBARAK MINI-LEAGUE 1440H Edisi 2 pada 24 hingga 26 Mei 2019 bertempat di Gelanggang Futsal KASBA, Kampung Samariang Batu, Petra Jaya, Kuching.
Para peminat futsal sekitar bandar raya Kuching dijemput untuk bersama-sama memeriahkan acara tersebut sekali gus mengeratkan silaturahim sesama sendiri serta dapat membina jaringan komuniti belia yang sihat dan aktif.
Encik Jamil Mieso selaku Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda PBB Ranting Kampung Samariang Batu (A) ditemui berkata, beliau berharap agar aktiviti sukan seperti ini akan dapat mengelakkan belia-belia di sekitar Samariang melakukan kegiatan yang tidak berfaedah serta merugikan masa depan mereka pada masa yang akan datang.
Poster pertandingan. Gambar: YJ.
“Dengan adanya pertandingan liga mini futsal seperti ini, belia kita akan dapat didedahkan dengan corak permainan pasukan dari kampung lain dan ini amat baik untuk pembangunan sukan futsal Semariang Batu sendiri. Ini disebabkan kebanyakan pasukan jemputan adalah terdiri daripada nama-nama besar di Kuching seperti KTT, PASOLA, KASPA F1, KBU, Wak Manzer dan ramai lagi, ” tambah beliau.
Liga mini yang diadakan selama 3 hari berturut-turut selepas solat tarawih dan dijadualkan pada jam 10. 30 malam itu turut mendapat perhatian beberapa syarikat Melayu Sarawak yang turut membantu menyalurkan tajaan hadiah.
Antaranya seperti Sarawak News Network; sebuah akhbar atas talian selaku penaja utama, Resonics Consultancy Sdn Bhd (penaja emas), syarikat anak muda Limbang yang berorientasikan platform digital dan perundingan; serta AMZ Security Services (penaja perak).
Abdul Qaiyum, CEO Resonics Consultancy – simbolik sumbangan tajaan. Gambar: YJ.
Pihak UH Sports Sdn Bhd iaitu pemilik jenama tempatan terkenal Coneli, turut terlibat sebagai penaja pakaian sukan rasmi dan bertindak menaja hadiah berupa piala utama serta anugerah khas kepada pemenang individu.Dua anugerah khas tersebut ialah pemain terbaik dan goleiro terbaik serta penjaring terbanyak liga.
Pertandingan ini yang bermula pada 24 Mei 2019 (Jumaat) akan meneruskan cabaran pada hari Sabtu dan Ahad ini. Penganjuran Edisi ke-2 ini bertitik-tolak atas kejayaan Edisi 1 yang telah diadakan pada 17-19 Mei yang lepas dan masih menerapkan konsep liga mini yang sama iaitu terhad kepada 12 pasukan jemputan sahaja.
[Source: “Pertandingan futsal selepas solat tarawih di Kampung Samariang dipersoalkan masyarakat” published by YJ / Sarawak News Network]Photo Credits: YJ / Sarawak News Network