JAGA SABAH, SARAWAK, AGAMA ANTARA PESANAN DALAM TITAH AGONG

JAGA SABAH, SARAWAK, AGAMA ANTARA PESANAN DALAM TITAH AGONG
Share this:

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong memeriksa Kawalan Kehormatan Utama

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dititahkan supaya sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat asal Sabah, Sarawak dan Orang Asli terutama di luar bandar dalam soal pembangunan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah yang bertitah buat pertama kali mengingatkan supaya pembangunan wilayah yang seimbang dan inklusif dilaksana bagi mengurangkan jurang pembangunan yang wujud sekarang.

“Kerajaan beta akan terus berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar, orang asal Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli dengan mengambil pendekatan yang menyeluruh meliputi pembangunan ekonomi, modal insan dan infrastruktur.

“Di samping itu, pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan inklusif juga akan diberi tumpuan agar dapat mengurangkan jurang pembangunan antara negeri-negeri serta kawasan luar bandar,” titah baginda.

Titah sulung Seri Paduka sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 itu mendapat tumpuan seluruh negara memandangkan baginda baru dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu.

Selepas dilantik, baginda telah melakukan kunjungan rasmi ke Sabah selama dua hari pada Khamis dan Jumaat lalu untuk berjumpa dengan pimpinan negeri.

Dalam titah tersebut, antara perkara yang turut diberi tumpuan oleh baginda ialah usaha mempertahankan kedaulatan agama Islam, namun pada masa sama kepentingan agama-agama lain juga perlu dijaga.

Menurut baginda, perkara-perkara asas dalam Perlembagaan iaitu agama Islam dan raja berperlembagaan tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak dan jika berlaku tindakan tegas perlu diambil.

“Semua pihak perlu menjunjung keluhuran Perlembagaan terutama yang menyentuh mengenai sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh mengancam nilai murni yang berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat.

“Sungguhpun kerajaan beta meraikan keterbukaan dan kebebasan bersuara, adalah penting kebebasan ini dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang dan norma kehidupan bermasyarakat,” titah Seri Paduka.

Tambah baginda, selain Islam agama-agama lain di Malaysia juga perlu dihormati demi kesejahteraan dan perpaduan hidup rakyat negara ini.

[Source: “JAGA SABAH, SARAWAK, AGAMA ANTARA PESANAN DALAM TITAH AGONG” published by Borneo Today]

Photo Credits: Borneo Today / RODELIO JUNJUN TAUCAN

Related Posts

Skip to toolbar