Usahawan muda harus bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan agensi-agensi di bawahnya secara aktif bagi membantu meluaskan perniagaan mereka di luar pasaran tempatan.
Menterinya Datuk Seri Redzuan Yusof berkata kemeterian menerusi agensi di bawahnya sentiasa membantu usahawan muda terutamanya golongan yang memulakan perniagaan buat pertama kali dan ingin mengembangkan perniagaan mereka di dalam negara dan rantau ini.
”Jangan tunggu kami (agensi di bawah kementerian) untuk datang kepada anda (usahawan). Kamu mesti proaktif dan berunding dengan kami untuk membantu perniagaan anda.Agensi di bawah kementerian akan menyadiakan latihan dan kaedah sesuai dalam membantu meningkatkan perniagaan anda,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapptama pada Hari Usahawan Malaysia- ASEAN 2019 di sini semalam.
Redzuan berkata kementerian akan menjadi jambatan bagi usahawan untuk memperolehi kemudahan dan latihan terbaik bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Terdahulu dalam ucapannya,beliau berkata usahawan muda terutamanya dari rantau ASEAN harus lebih berwaspada dan berdaya tahan dan merebut peluang ditawarkan dalam trend teknologi yang mencatatkan peertumbuhan pesat terkini seperti data raya, objek rangkaian internet dan kecerdasan buatan untuk berkembang maju dalam ekosistem keusahawanan sekarang.
”Khususnya usahawan muda Malaysia, saya menyeru anda semua menerokai peluang ini dan menjalinkan rangkaian dengan rakan-rakan usahawan kamu di rantau ini, bermula dengan perwakilan ASEAN yang hadir ini (semalam).
”Usahawan masa depan harus berusaha keluar daripada zon selesa mereka denga n berani mengambil peluang daripada teknologi baharu ini” katanya.
Acara anjuran bersama Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan Persatuan Usahawan Muda ASEAN Malaysia yang berlangsung selama sehari itu disertai kira-kira 250 peserta dagi negara ASEAN, yang terbabit dalam pelbagai perbincangan menarik pada forum itu.
Para usahawan yang menghadiri forum itu adalah anggota Majlis Keusahawanan Muda ASEAN , sayap sektor swasta untuk usahawan di bawah umur 45 tahun dalam Komuniti Ekonomi ASEAN merangkumi negara Brunei, Kemboja, Indonesia, laos, Malaysia, Myanmar, filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
MED akan mengambil perhatian terhadap hasil perbincangan forum itu, berhubung kerja yang sedang dijalankan kemeterian dalam merangka Dasar Keusahawanan Kebangsaan.
[Source: “Usahawan Muda Diminta Bekerjasama Dengan MED” published by BERNAMA]